SEORANG lelaki cedera selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam lima meter selepas dipercayai melanggar seekor anak gajah di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.28 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, operasi menyelamat dijalankan membabitkan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dengan kekuatan sembilan anggota.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati mangsa tersepit di dalam kenderaan yang terjatuh ke dalam gaung.
“Anggota kemudian menjalankan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas sebelum mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Mersing menggunakan kenderaan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan dan menghantar anggota ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.






