Upah RM5,000 sekali hantar, pasangan kekasih jadi kurier dadah RM728,510

TAWARAN upah lumayan sebanyak RM5,000 bagi setiap penghantaran dipercayai menjadi punca sepasang kekasih terbabit dalam kegiatan mengedar dadah sebelum diberkas bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM728,510 dalam serbuan di Genting Permai, Bentong, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, lelaki tempatan berusia 37 tahun berasal dari Kedah dan teman wanitanya, warga asing berusia 35 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang menerusi Ops Tapis Khas (Operasi Hawks) yang dijalankan sepasukan Polis Kontinjen Pahang.

Menurutnya, pasangan itu dipercayai baru mendaftar masuk ke sebuah hotel sebelum ditahan di dalam sebuah kereta di kawasan parkir premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek menemukan pelbagai jenis dadah antaranya ketamin seberat tiga kilogram (kg), kokain (1kg), serbuk MDMA (670 gram), syabu (500 gram) dan Erimin 5 (4 gram).

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM728,510,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai RM1,000 serta seutas gelang emas bernilai kira-kira RM1,600.

Menurut Azry Akmar, siasatan awal mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai bersama teman wanitanya menjalankan kegiatan itu secara sambilan sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, kedua-dua suspek berperanan sebagai kurier dadah yang mengambil upah RM5,000 bagi setiap penghantaran dan hasil risikan mendapati mereka dipercayai sudah beberapa kali melakukan kegiatan sama.

“Siasatan juga mendapati bekalan dadah diperoleh dari kawasan Lembah Klang sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Pantai Timur.

“Jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu menjejaskan kira-kira 10,000 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran,” katanya.

Beliau berkata, keputusan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, pasangan itu kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang turut menahan 333 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Ops Hawk yang dijalankan di seluruh negeri selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Jun lalu.

Operasi itu melibatkan 167 serbuan dan 393 pemeriksaan yang membawa kepada pembukaan 260 kertas siasatan selain rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM762,989 serta sitaan harta berjumlah RM79,600.

“Kejayaan ini membuktikan komitmen polis dalam membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dan orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img