Seronok judi Piala Dunia bawa padah, lima lelaki didenda

LIMA lelaki termasuk dua beradik masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini selepas mengaku bersalah terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 menerusi laman judi dalam talian, bulan lalu.

Tertuduh, Ooi Wooi Loon, 41, Weeson Lim, 30, Lau Chee Boon, 30, Lau Chee Ewe, 28, dan Lee Boon Luun, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, namun mereka dilaporkan menjelaskan bayaran tersebut.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa melakukan pertaruhan dalam permainan judi bola sepak Piala Dunia 2026 menggunakan komputer menerusi laman sesawang perjudian dikenali sebagai GO2WIN.BET dan NOVA88.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit di Pangsapuri Marminton Homes, Lorong Cantik Permai 1, Butterworth, dalam daerah Seberang Perai Utara kira-kira jam 10.30 malam pada 27 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Catherine Joysce Matthews Sandra.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon hukuman minimum dengan memaklumkan empat daripada tertuduh tidak bekerja, manakala Lee bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM2,600 sebulan dan menanggung ibu bapanya.

Peguam turut memaklumkan Ooi adalah duda dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah, manakala dua beradik Lau pula baru kehilangan pekerjaan.

Media sebelum ini melaporkan kelima-lima mereka adalah antara 28 individu yang ditahan menerusi Op Soga XI selepas disyaki terbabit dalam pertaruhan haram dan perjudian dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung bermula 11 Jun hingga 19 Julai ini.

Setakat ini, sebanyak 21 serbuan dijalankan di seluruh Pulau Pinang bagi membanteras kegiatan pertaruhan bola sepak selain berjaya melumpuhkan dua pusat panggilan yang menjalankan operasi pertaruhan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img