KEHILANGAN seorang lelaki sejak Isnin lalu berakhir dengan penemuan mayat mangsa di dalam parit di tepi Jalan Puncak Borneo, Kampung Sinar Baru, Siburan dekat Kuching, petang tadi.
Mayat lelaki berkenaan ditemukan orang awam sebelum pihak berkuasa dipanggil ke lokasi untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai dilaporkan hilang sejak dua hari lalu namun identiti serta butiran lanjut masih dalam siasatan.
Beliau berkata, setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan bagi membantu mengangkat mayat pada jam 2.07 petang.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.
“Pasukan tiba pada jam 2.28 petang dan mendapati seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam parit di tepi jalan.
“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengangkat mayat sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa keluar dari lokasi sebelum dihantar untuk tindakan lanjut termasuk proses pengecaman dan siasatan berkaitan punca kematian.






