PIHAK pendakwaan menolak representasi seorang wanita supaya digugurkan pertuduhan terhadapnya yang didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri, tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan perkara itu semasa sebutan kes Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, di hadapan Majistret Norizan Ridzuan yang kemudiannya menetapkan 6 Julai ini bagi pengurusan kes.
Pada 8 Oktober tahun lalu, mahkamah itu menolak pengakuan bersalah Nurhaswani Afni selepas dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di Ipoh menyatakan tertuduh menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.
Wanita itu didakwa atas pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin dengan cuba menyerang baginda di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada jam 8.20 pagi, 31 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 8 September 2025, dia dihadapkan ke mahkamah sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tata Cara Jenayah.






