Tragedi Gerik berulang: Ibu gajah enggan berganjak 7 jam selepas anak mati

TRAGEDI di Gerik, Perak pada 11 Mei tahun lalu yang meruntun jiwa dan emosi seluruh negara pada Hari Ibu seakan berulang hari ini apabila seekor anak gajah mati dilanggar kenderaan, manakala ibunya enggan berganjak selama tujuh jam di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi tadi.

Menerusi video tular di media sosial, gajah betina itu kelihatan enggan meninggalkan anaknya yang mati selepas dilanggar sebuah Perodua Bezza dalam kejadian pada 2.28 pagi.

Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor yang mengesahkan kejadian itu berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 8.30 pagi sebelum empat anggotanya dihantar ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.

Beliau berkata setibanya di lokasi, pihaknya mendapati seekor anak gajah betina dianggarkan berusia lima tahun telah mati akibat perlanggaran tersebut, manakala seekor gajah dewasa dipercayai ibunya masih berada di kawasan kejadian.

“Siasatan turut mendapati kumpulan gajah berkenaan dikenal pasti daripada ID Jamaluang-Mersing.

“Anak gajah itu dikenal pasti sebagai gajah betina dengan ukuran panjang badan kira-kira 150 sentimeter, tidak mempunyai gading serta lebar tapak kaki hadapan 11 inci dan tapak kaki belakang 14 sentimeter,” katanya, lapor Bernama.

Jurucakap Perhilitan itu berkata pasukan Unit Tangkapan Gajah daripada Pusat Santuari Gajah Johor (JES) turut membantu mengalihkan ibu gajah berkenaan ke dalam hutan, manakala bangkai anak gajah itu kemudian ditanam di kawasan berhampiran.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan rondaan malam ini dan esok bagi memastikan keselamatan ibu gajah berkenaan serta mengelakkan haiwan itu daripada kembali ke lokasi kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan seorang lelaki tersepit dan cedera pada kaki apabila kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam lima meter akibat terlanggar seekor anak gajah.

Dalam kejadian di Gerik pada 11 Mei tahun lepas, tragedi seekor anak gajah terperosok di bawah sebuah lori kontena selepas dilanggar, manakala seekor gajah dewasa dipercayai ibunya dilihat cuba mengalihkan lori itu bagi menyelamatkan anaknya, tular di media sosial hingga mendapat respons pelbagai pihak mengenai konflik gajah dan manusia.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img