ATM milik bank tiada lagi fi RM1, ATM swasta kekal caj pengeluaran tunai – Fahmi

PENGGUNA kini boleh mengeluarkan wang tunai di kebanyakan mesin pengeluaran automatik (ATM) tanpa dikenakan fi RM1 bermula 1 Julai, namun pengecualian itu tidak terpakai kepada ATM yang dikendalikan pengusaha swasta bukan institusi perbankan.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri susulan persoalan yang dibangkitkan orang ramai di media sosial berhubung pelaksanaan pengecualian caj berkenaan.

Menurutnya, penjelasan yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati inisiatif itu bertujuan memberi sedikit kelegaan kepada pengguna dengan mengetepikan kos pengeluaran tunai antara bank melalui ATM yang dimiliki dan dikendalikan bank.

“Langkah ini membolehkan pelanggan mengeluarkan wang tunai daripada mana-mana ATM milik bank tanpa dikenakan fi RM1 selagi ATM itu berada dalam rangkaian perkongsian ATM bank.

“Pengumuman ini meliputi ATM milik bank yang merangkumi kira-kira 84 peratus atau hampir 16,000 ATM di seluruh negara,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Beliau berkata, baki 16 peratus ATM di negara ini dikendalikan pengusaha bebas yang bukan bank dan tertakluk kepada perjanjian komersial berbeza, sekali gus tidak termasuk dalam skop pengecualian fi tersebut.

Menurutnya, ATM kategori itu lazimnya tidak menggunakan logo bank dan dikendalikan sebagai model perniagaan berasingan.

“Secara keseluruhan langkah berkenaan dijangka memperluaskan akses pengguna untuk mendapatkan wang tunai tanpa caj tambahan di seluruh negara.

“Pihak Association of Banks in Malaysia (ABM) dan Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut bagi memperincikan pelaksanaan inisiatif berkenaan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, BNM meminta orang ramai membuat aduan sekiranya masih dikenakan caj RM1 ketika mengeluarkan wang tunai di ATM milik bank.

“Jika ada pengguna yang masih dikenakan fi RM1 di ATM bank, laporkan kepada Bank Negara untuk tindakan susulan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img