SEORANG jururawat kerugian RM6,770 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pembelian ayam secara dalam talian ketika cuba mendapatkan tawaran ayam segar pada harga promosi RM5.
Wanita berusia 49 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Bau pada jam 4.11 petang semalam selepas menyedari wang dalam akaun bank miliknya dipindahkan tanpa kebenaran.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa berada di rumahnya di Kampung Skio, Kuching.
Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan jualan murah Ayam Fresh Premium yang dilihat menerusi Facebook sebelum menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp untuk urusan pembelian.
“Pada awalnya mangsa diminta membuat pembayaran RM5 menerusi pautan yang diberikan namun gagal dilakukan sebelum diarahkan memuat turun satu aplikasi dan membuat pembayaran secara tunai semasa penghantaran (COD).
“Mangsa kemudian mengikut arahan yang diberikan termasuk memuat turun aplikasi berkenaan serta mengemas kini tetapan COD bagi melengkapkan proses pembelian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tidak lama kemudian mangsa menerima mesej daripada pihak bank memaklumkan akaunnya disekat sementara.
“Selepas membuat semakan, mangsa mendapati wang dalam akaunnya sudah dipindahkan ke akaun bank lain atas nama seorang lelaki.
“Mangsa juga tidak menerima ayam yang ditempah dan usaha menghubungi semula nombor telefon terbabit gagal kerana tiada sebarang maklum balas diterima,” katanya.
Susulan itu, mangsa membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohd Haide berkata, mangsa yang mengetahui fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) turut menghubungi talian 997 pada hari sama bagi membuat aduan berhubung kejadian itu.






