Syabu, ketum jerat 195 individu, termasuk sepasang suami isteri

SERAMAI 195 individu termasuk sepasang suami isteri didapati positif pelbagai jenis dadah dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dijalankan selama tiga hari di empat daerah di Negeri Sembilan dan berakhir semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, keseluruhannya seramai 262 individu termasuk empat warga asing ditahan dalam operasi yang dijalankan di daerah Seremban, Jempol, Tampin dan Port Dickson.

Beliau berkata, hasil saringan mendapati 195 daripada mereka positif pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine dan ketum.

“Antara yang ditahan ialah sepasang suami isteri masing-masing berusia 45 dan 44 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di daerah Seremaban.

“Ketika serbuan dijalankan, terdapat dua kanak-kanak berusia empat dan 10 tahun berada di rumah berkenaan yang didapati tidak mempunyai bekalan elektrik sebelum kedua-duanya dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas operasi berakhir di Pejabat AADK Negeri Sembilan, malam tadi.

Menurutnya, dalam satu lagi operasi di Jempol, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 44 tahun bersama anak perempuannya berusia setahun tiga bulan selepas wanita itu didapati positif dadah jenis syabu.

Zainudin berkata, operasi itu turut menyaksikan penahanan empat warga asing terdiri daripada tiga warga Indonesia dan seorang etnik Rohingya.

Katanya, AADK turut merampas 2.62 gram dadah dipercayai jenis morfin sepanjang operasi berkenaan.

“Semua individu yang ditahan bersama barang rampasan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, Operasi Perdana yang bermula 29 Jun lalu itu dilaksanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 serta Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004.

Menurutnya, seramai 72 pegawai dan anggota AADK terbabit dalam operasi berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img