KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) menegaskan pembayaran RM571.9 juta dibuat kepada syarikat pembekal perolehan aset peluru berpandu anti-kapal (NSM) buatan Norway untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) bukanlah bayaran pendahuluan.
Sebaliknya, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembayaran dibuat itu dilaksanakan mengikut terma kontrak berdasarkan kemajuan kerja yang telah disahkan.
“Pada ketika pembayaran dibuat, semua sistem NSM telah siap dihasilkan, berjaya melepasi ujian yang ditetapkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta berada dalam keadaan sedia untuk dihantar ke Malaysia.
“Justeru, pembayaran dibuat selaras dengan syarat kontrak, bukannya secara pendahuluan tanpa kemajuan fizikal,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PN-Pasir Gudang) yang mempersoal mengapa kerajaan melepaskan bayaran penuh nilai kontrak RM571.9 juta terlalu awal dalam isu perolehan aset NSM buatan Norway itu.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan dakwaan bahawa kontrak dengan Norway itu tidak mempunyai klausa yang melindungi kepentingan kerajaan sebagai tidak tepat.
“Kontrak berkenaan mengandungi peruntukan yang membolehkan kerajaan mengambil tindakan sekiranya berlaku kegagalan pelaksanaan kontrak atau pelanggaran obligasi oleh pihak yang berkenaan.
“Dalam isu ini, pembatalan lesen eksport oleh kerajaan Norway merupakan keadaan yang berada di luar kawalan kerajaan Malaysia dan syarikat pembekal.
“Jadi, kementerian sedang menggunakan peruntukan tersedia dalam kontrak untuk melindungi kepentingan kerajaan, termasuk mengemukakan tuntutan bagi mendapatkan semula bayaran serta ganti rugi yang berkaitan,” katanya.
Menjawab soalan Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan), Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa perkembangan ini tidak menjejaskan kesiapsiagaan operasi semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana TLDM masih mempunyai aset dan sistem persenjataan sedia ada untuk melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan perairan negara.
“Bagi projek LCS, pembatalan lesen eksport tersebut tidak menjejaskan jadual penyerahan kapal yang telah dirancang.
“Pada masa sama, kementerian khususnya melalui TLDM sedang membuat penilaian dan penelitian terhadap sistem peluru berpandu yang berpotensi menggantikan sistem NSM,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, Kementerian Pertahanan telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan maritim negara terus terpelihara.
Antaranya, meneruskan program ‘Life Extension‘ atau lanjutan hayat dan penyelenggaraan aset sedia ada, melaksanakan strategi diversifikasi sumber perolehan persenjataan serta memperkukuh diplomasi pertahanan bagi menjamin kesinambungan rantaian bekalan strategik.






