SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, tindakan membina benteng semata-mata tanpa kerja mendalamkan dasar sungai tidak berkesan bagi menangani masalah banjir.
Baginda bertitah, ini kerana pembinaan benteng tidak memberi banyak manfaat sekiranya sungai terus mengalami pemendapan kelodak sehingga menjadi semakin cetek.

Susulan itu, baginda mahu kerja mendalamkan sungai yang cetek dilakukan bagi mengelak air melimpah ke kawasan sekitar.
“Saya sentiasa menekankan mana-mana kampung atau bandar yang terletak di sepanjang sungai perlu memastikan sungai yang melaluinya didalamkan bagi mengelak banjir.
“Setinggi mana sekali pun benteng dibina, ia tidak berguna jika sungai dipenuhi kelodak dan terus menjadi semakin cetek.
“Sungai kita semakin cetek dan akhirnya air akan melimpah ke kawasan sekitarnya. Ia adalah formula yang sangat mudah, tidak memerlukan sains roket untuk memahaminya,” titah baginda ketika merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Lembing bernilai RM6 juta di Kuantan hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang juga Ahli Parlimen Paya Besar; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan atas peruntukan besar disalurkan bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di Pahang, khususnya projek tebatan banjir di Sungai Lembing yang membabitkan perbelanjaan besar.
“Projek ini amat diperlukan kerana Sungai Lembing antara kawasan yang hampir setiap tahun dilanda banjir.
“Jika mahu mengetahui sama ada Pahang akan dilanda banjir atau tidak, lihat dulu keadaan di Sungai Lembing kerana jika di situ banjir, besar kemungkinan Kuantan juga akan banjir.
“Itulah penanda aras yang sekian lama kami gunakan di Pahang,” titah baginda.
Projek tebatan banjir Sungai Lembing bernilai RM100 juta, yang bermula 2024, dijadual siap pada awal tahun depan.
Pada awal tahun lalu, Al-Sultan Abdullah menggesa kerja mendalam dan melebarkan sungai di seluruh Pahang dipercepatkan selepas mendapati proses pemendapan menyebabkan sungai di beberapa daerah menjadi semakin cetek, sekali gus mengakibatkan limpahan air dan banjir kerap berlaku.
Sementara itu, baginda bertitah, Sungai Lembing yang ketika dulu popular sebagai bandar perlombongan bijih timah, kaya dengan sejarah yang sudah didokumentasikan dalam pelbagai penerbitan.
“Ia pernah menjadi bandar perlombongan yang pesat ketika zaman penjajahan British. Bagaimanapun, aktiviti perlombongan akhirnya merosot berikutan faktor ekonomi dan keadaan pasaran ketika itu,” titah baginda.






