Empat lelaki berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Manjung hari ini atas pertuduhan mengedar 503.20 gram dadah jenis methamphetamine, Jumaat lalu.
Tertuduh, Tugiman Mistat, 54; Zulkifli Abdul Halim, 40; Mohd Ashiq Mohd Saed, 40; dan Fitri Hafifi Mohd Hassan, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Asma’ Nahdiyya Che Ab Rahim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama mengedar 503.20 gram dadah jenis methamphetamine di sebuah rumah di Fasa 2D Seri Manjung, kira-kira jam 3.30 petang pada 26 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zainarida Emilia Zaidi, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.






