POLIS menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan rampasan syabu dan bunga ganja bernilai kira-kira RM5.45 juta menerusi beberapa serbuan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar berkata, operasi yang dijalankan antara 30 Mac hingga 8 April itu turut menyaksikan penahanan empat suspek dipercayai keldai dadah termasuk seorang remaja perempuan, manakala seorang lagi wanita kini diburu.
Menurutnya, kes pertama membabitkan rampasan 12.5 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM625,000 yang ditemui dalam bagasi milik seorang remaja perempuan berusia 19 tahun pada 5 April lalu.
“Suspek dipercayai dalam perjalanan membawa bekalan itu untuk edaran di Malaysia Timur. Saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Dalam kes kedua, polis merampas 45kg bunga ganja bernilai RM3.6 juta yang ditemui dalam tiga bagasi milik tiga lelaki tempatan yang dipercayai cuba membawa keluar dadah itu ke luar negara.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun ditahan di Terminal 1, KLIA pada 8 April lalu, dengan dua daripadanya didapati positif amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau.
Sementara itu, kes ketiga melibatkan rampasan 24.5kg syabu bernilai RM1.225 juta dalam bagasi milik seorang wanita berusia 33 tahun.
“Wanita itu melarikan diri selepas dipanggil untuk pemadanan bagasi dan tidak menaiki penerbangan. Dadah dipercayai untuk diedarkan ke pasaran Sabah,” katanya.
Menurutnya, polis kini giat mengesan wanita terbabit, Syazwani Farhana Dron yang berasal dari Sarawak bagi membantu siasatan.
Shazeli berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kes tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, namun dipercayai melibatkan individu yang baru direkrut sebagai keldai dadah dengan tawaran upah lumayan mencecah sekurang-kurangnya RM5,000.
“Kesemua empat suspek yang ditahan direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


