SEBUAH video dimuat naik YouTuber dari Australia yang memaparkan keadaan Flat Hicks di Jalan Changkat, Kuala Lumpur didakwa kotor, uzur dan dihuni ramai warga asing mencetuskan perhatian ramai.
Susulan video yang tular itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kerja pembersihan segera di kawasan berkenaan.
Rakaman berdurasi hampir 30 minit yang dimuat naik menerusi saluran YouTube Marco Roams memaparkan beliau meninjau keadaan Flat Hicks atau lebih dikenali sebagai ‘Shanghai Bund’, yang menurutnya masih tidak banyak berubah sejak kunjungan terdahulu kira-kira satu setengah tahun lalu.
Dalam video itu, beliau mendakwa persekitaran flat berkenaan dipenuhi longgokan sampah, koridor sempit, keadaan kebersihan yang tidak memuaskan serta beberapa unit kediaman dipercayai dihuni ramai penghuni, kebanyakannya warga asing.
Beliau turut mendakwa keadaan itu memberi gambaran kurang baik terhadap imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan antarabangsa selain menimbulkan isu kebersihan dan penyelenggaraan bangunan.
Rakaman tersebut kemudiannya tular di pelbagai platform media sosial dengan rata-rata pengguna meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan Flat Hicks serta menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa.
Susulan itu, DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud telah mengadakan lawatan ke lokasi semalam, selepas meneliti aduan serta kebimbangan yang dibangkitkan orang awam.
Menurut DBKL, hasil pemeriksaan mendapati masih terdapat beberapa isu yang belum dapat diselesaikan walaupun operasi pembersihan dan penguatkuasaan bersama agensi berkaitan pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Sebagai langkah segera, Datuk Bandar telah mengarahkan kerja-kerja pembersihan dilaksanakan tanpa berlengah bagi memperbaiki keadaan di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.
DBKL turut memaklumkan Pesuruhjaya Bangunan (COB) diarahkan mengadakan mesyuarat khas bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat Hicks yang akan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar.
Mesyuarat itu bertujuan mengenal pasti punca isu yang berulang, memperjelaskan tanggungjawab setiap pihak serta menyelaras pelan tindakan lebih tersusun bagi menangani masalah di bangunan berkenaan.
Flat Hicks sebelum ini beberapa kali menjadi perhatian susulan dikaitkan dengan penempatan warga asing selain menjadi lokasi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa.






