LEBIH 60 peratus aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini berusia lebih 40 tahun, sekali gus menjadi cabaran terbesar pasukan itu dalam menguruskan armada yang semakin usang.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata, keadaan itu memberi cabaran kepada TLDM kerana kapal lama masih perlu diatur gerak bagi memenuhi komitmen operasi di laut sepanjang masa.
Menurut beliau, TLDM ketika ini mempunyai enam operasi yang memerlukan komitmen kapal 24 jam sehari sepanjang tahun.
“Sebenarnya lebih daripada 60 peratus aset kita berusia lebih daripada 40 tahun, maknanya semuanya dah usang. Ini satu cabaran kepada TLDM pada masa ini untuk menguruskan armada yang semakin berusia.
“Kita memang ada enam operasi yang memerlukan komitmen kapal 24 jam sehari sepanjang tahun. Jadi daripada kapal kita yang usang ini, mereka terpaksa juga pergi ke laut dan ini merisaukan kami sebagai pihak kepimpinan kerana keadaannya tidak seperti ketika mula-mula masuk perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-53 Kumpulan Pertama Kapal Kelas Perdana Combatantte di Kuala Lumpur hari ini.
Zulhelmy berkata, TLDM sentiasa mengambil langkah memastikan kapal yang dioperasikan masih selamat digunakan di laut.
“Keutuhan badan kapal mungkin boleh dipersoalkan apabila berdepan gelombang besar dan sebagainya, kita risau.
“Jadi sebab itu kita sentiasa mengambil langkah untuk menentukan kapal ini masih selamat untuk belayar, tetapi lebih daripada 60 peratus kapal ini memang sepatutnya diganti,” katanya.
Beliau berkata, aset lama masih boleh digunakan, namun kos senggaraan semakin meningkat kerana kerosakan lebih kerap berlaku tanpa dirancang.
“Taklah juga kritikal, masih lagi selamat untuk belayar tetapi dah usang. Bila usang ini, senggaraan pembaikan lebih banyak berbanding senggaraan pencegahan. Maknanya kita tak boleh buat rutin senggaraan biasa.
“Ia akan rosak tanpa kita rancang sebab usang. Benda dah lama. Lepas itu alat ganti pun susah nak dapat. Macam kita senggara kereta tahun 70-an, memang susah nak senggara sebab alat ganti dah tak ada,” katanya.
Zulhelmy berkata, antara langkah interim yang diambil TLDM ialah melaksanakan program ‘obsolescence’ atau pengurusan keusangan aset bagi memanjangkan hayat kapal sedia ada sementara menunggu perolehan aset baharu.
Menurutnya, program itu mampu memberi ruang penggunaan kira-kira 10 hingga 15 tahun, namun bukan penyelesaian jangka panjang.
“Ini langkah interim sebenarnya. Kita tak boleh berterusan buat macam ini kerana kos senggaraan untuk kapal yang berusia akan meningkat. Jadi ini langkah interim sementara kita mendapatkan aset baharu,” katanya.
Beliau berkata, TLDM sudah melupuskan lima kapal lama sebagai isyarat kepada kerajaan bahawa aset usang perlu diganti dengan kapal baharu.
Menurutnya, pelan transformasi TLDM 15-to-5 turut mempunyai perancangan kemasukan aset baharu dan pelupusan kapal lama secara berperingkat.
“Kita ada pelan kemasukan dan pelupusan aset dalam 15-to-5 yang mengatur kapal mana akan dilucut tauliah untuk digantikan dengan kapal baharu.
“Memang betul kebanyakan kapal ini sudah melepasi tahap ekonomi untuk dibaiki, tetapi kita perlu buat sesuatu mengenainya,” katanya.






