OPERASI di Lapangan Terbang Labuan terjejas lagi hari ini, susulan penemuan sebutir bom lama kira-kira 200 meter dari landasan di kawasan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhampiran Kerupang.
Bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua itu ditemukan pada jam 3.45 petang tadi.
Ini merupakan kejadian kedua kerana sebelum ini, beberapa bom lama turut dijumpai di lokasi sama pada 26 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, kerja-kerja mengalihkan bom itu untuk tujuan pemusnahan sedang dijalankan oleh pihak polis dengan kerjasama anggota TUDM.
“Orang ramai dinasihatkan bertenang kerana keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan pemusnah bom sedang menjalankan proses mengalihkan bahan letupan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, orang ramai juga diingat tidak menyebarkan maklumat tidak sah atau palsu yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.
Sementara itu, penemuan bahan letupan terbabit menyebabkan beberapa penerbangan ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Miri mengalami kelewatan, manakala penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan dilencongkan ke Miri.
Operasi lapangan terbang itu dijangka pulih selepas jam 8 malam ini sebaik saja kawasan terbabit disahkan selamat oleh pihak berkuasa.






