SEORANG kru bot yang maut dalam tragedi bot mencandat sotong karam di perairan Kuala Terengganu, malam tadi, dipercayai mengutamakan keselamatan semua penumpang sebelum dirinya sendiri kehabisan tenaga.
Abang mangsa, Ahmad Firdaus Mohmad Jalil, 41, berkata adiknya, Ahmad Nasaruddin Mohd Jalil, 37, sempat membantu menyelamatkan penumpang lain sebelum dipercayai meninggal dunia akibat keletihan.
“Sebelum meninggal dunia, arwah adik sempat tolong semua penumpang dulu. Mungkin sebab keletihan, dia hilang tenaga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), hari ini.
Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka tragedi itu akan meragut nyawa adiknya yang bekerja sebagai juruelektrik kerana mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar bekerja sebagai kru bot mencandat.
Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu kira-kira jam 10 malam ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Batin.
“Sebaik dimaklumkan, saya terus ke jeti dan sempat melihat arwah sebelum dibawa dengan ambulans ke hospital.
“Arwah sebenarnya baru kira-kira dua tahun menyertai trip mencandat sotong. Saya sendiri juga mencandat sotong,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang kejadian mereka gagal menghubungi mangsa kerana telefon bimbitnya hilang ketika insiden berkenaan.
“Keadaan ketika itu sangat kelam-kabut, jadi saya faham kenapa dia tidak dapat dihubungi,” katanya.
Jenazah Allahyarham yang masih bujang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tok Beng selepas solat Zuhur, manakala solat jenazah akan diadakan di Masjid Bukit Tok Beng.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam semalam, bot yang membawa 12 individu termasuk tekong dan kru karam ketika menjalankan aktiviti mencandat sotong di perairan berhampiran Kuala Terengganu.
Tragedi itu mengorbankan Ahmad Nasaruddin, manakala 11 individu lain berjaya diselamatkan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati ruang enjin bot dimasuki air sebelum paras air meningkat dengan cepat.
Katanya, mangsa sempat memotong tali sauh bagi membolehkan tekong menggerakkan bot untuk mendapatkan bantuan daripada bot berhampiran, namun bot itu akhirnya karam.
Beliau berkata, tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan dengan dua daripadanya sudah dibenarkan pulang, manakala seorang lagi masih menerima rawatan lanjut.






