TINDAKAN seorang ibu membiarkan dua anak perempuannya mengeluarkan kepala melalui sunroof (bumbung suria) sebuah kenderaan ketika bergerak mengundang padah apabila dia ditahan polis susulan video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan rakaman video berkenaan di aplikasi Threads hari ini sebelum menerima laporan polis berkaitan kejadian itu pada jam 5.28 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku di Lebuhraya Grand Saga Cheras berhampiran Kampung Batu 10, Cheras dan membabitkan sebuah kenderaan jenis Chery berwarna hitam.
“Hasil siasatan, suspek yang merupakan wanita tempatan berusia 30 tahun dan juga ibu kepada dua kanak-kanak perempuan berusia empat serta enam tahun telah ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk memberi keterangan.
“Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara jika sabit kesalahan.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali.
Naazron menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengutamakan keselamatan, khususnya apabila melibatkan kanak-kanak.
“Orang ramai juga diminta supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan nyawa diri sendiri atau pengguna jalan raya lain.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tharani Sivarajan di talian 017-7331935 bagi membantu siasatan,” katanya.






