JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh selepas tular di media sosial dakwaan berkaitan pemilikan dua pasport termasuk Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dalam serbuan di Jalan Kuantan Bandar Damansara, Pahang, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu susulan satu hantaran tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh memegang dua pasport didakwa melibatkan PMA dan pasport negara asalnya.
“Susulan itu, JIM bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang telah menubuhkan satu pasukan petugas bagi mengesan individu berkenaan dan menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut.
“Hasil risikan, satu serbuan dilakukan ke atas sebuah kontena di sekitar Jalan Kuantan Bandar Damansara pada jam 6.30 petang, semalam.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan seorang lelaki warganegara Bangladesh berada di dalam kontena tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam kontena menemukan dua naskhah PMA tamat tempoh sah laku masing-masing pada 25 April 2017 dan 25 Oktober 2022.
Selain itu, katanya, turut ditemukan senaskhah Buku Perkhidmatan Pelaut milik seorang warganegara tempatan.
“Individu terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat JIM Kuantan bagi membantu siasatan.
“Pihak JIM sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar kedua-dua naskhah PMA dan Buku Perkhidmatan Pelaut tersebut.
“Selain itu, JIM menyiasat kebarangkalian wujud unsur pemilikan tanpa kebenaran, penyalahgunaan dokumen perjalanan atau apa-apa kesalahan lain di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Zakaria berkata, pihaknya menegaskan bahawa setiap dakwaan berkaitan penyalahgunaan atau pemilikan dokumen perjalanan Malaysia dipandang serius.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.





