PENGERUSI PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilancarkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai copy paste atau salin semula.
Sebaliknya beliau berkata, PH Johor sudah lama turun padang untuk mendengar suara dan rintihan rakyat sebelum menghasilkan manifesto tersebut.
“Ada orang kata kita keluarkan manifesto ini lambat, seminggu lambat dia kata. Dia kata, bila dia bandingkan antara manifesto Barisan Nasional (BN) dan juga PH, dia kata kita copy and paste manifesto tersebut.
“Saya nak tanya anda semua di sini, betulkah kerja kita ini copy and paste? Betulkah? Tidak. Inilah yang kita bawa supaya kita dapat menawarkan atau yang dikehendaki oleh akar umbi dan rakyat,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kampung Jawa, Segamat hari ini.
Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran serta calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee En Xiang dan Kemelah, Mohd Afif Abd Hamid.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan menyifatkan manifesto PH copy paste. Berucap pada Program Himpunan Anak Muda Tiram di Johor Bahru baru-baru ini, Khairy mendakwa apa yang terkandung dalam manifesto PH, sudah pun dan sedang dilaksana BN.
Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, sekiranya PH memenangi PRN Johor, antara perkara yang akan dilaksanakan pihaknya adalah menyediakan 250,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda dalam masa lima tahun agar mereka tidak merantau ke bandar lain atau ke Singapura.
Katanya, selain peluang pekerjaan, PH juga akan menyediakan wang deposit sebanyak RM8,000 kepada golongan muda yang pertama kali membeli rumah.
“Kita tawarkan itu satu perkara yang saya kira sangat istimewa yang kita beri keutamaan kepada anak muda. Banyak lagi perkara lain yang kita tawarkan (seperti) RM500 juta juga kita tawarkan untuk membantu anak muda kita,” katanya.






