Seorang guru menerima hukuman penjara lapan tahun selepas Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini mendapati dia bersalah memperdagangkan seorang wanita tempatan bagi tujuan eksploitasi seks bersama rakannya dalam kejadian dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli turut menjatuhkan hukuman sama terhadap rakan guru itu, Mohamad Fazley Jaafar, 31, yang bekerja sebagai buruh.
Mahkamah turut mengenakan denda RM5,000 terhadap setiap tertuduh dan memerintahkan mereka dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 50, dan Mohamad Fazley didapati memperdagangkan seorang wanita warga Malaysia yang ketika itu berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.35 pagi pada 11 Mac 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizudin Manjur Ahmad bersama Noradila Abdul Latif, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd. Shahir Mat Jusoh.
Semasa prosiding, Ahmad Hafizudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal dengan mengambil kira peranan Mohd. Hasfyanizam sebagai seorang guru.
Beliau berhujah, tertuduh sepatutnya menjadi contoh dan membimbing masyarakat ke arah kebaikan, namun sebaliknya terbabit dalam jenayah pemerdagangan orang.
Katanya, hukuman berat juga wajar dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran kepada mereka dan masyarakat supaya tidak terbabit dalam jenayah sama.
Selepas meneliti keseluruhan fakta kes serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh bersalah sebelum menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM5,000 setiap seorang.






