AHLI Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada di Parlimen.
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam kenyataan memaklumkan, Ahmad Amzad berada di Parlimen bagi mengikuti sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) serta dijadualkan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024.
Menurut kenyataan itu, beliau mengalami pening dan hampir pitam sebelum dibawa ke Klinik Parlimen untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan awal.
“Hasil pemeriksaan dan penilaian lanjut oleh pegawai perubatan di Klinik Parlimen, beliau dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan lanjut.
“Beliau kemudiannya dibawa ke IJN dengan ambulans dan kini dimasukkan ke wad bagi tujuan pemantauan serta rawatan lanjut,” katanya.
Susulan itu katanya, beberapa urusan rasmi, pertemuan dan program yang dijadualkan membabitkan beliau pada minggu ini ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak.
Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut memohon doa orang ramai supaya Ahmad Amzad diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan.






