KETUA Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin bersara wajib hari ini selepas 36 tahun menabur bakti sebagai pegawai kerajaan.
Pada sesi clock out yang berlangsung jam 6.10 petang, beliau menekan papan layar dengan tanda ‘daftar keluar’ menandakan tamat perkhidmatannya di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Putrajaya.
Mohd Uzir memulakan kerjaya pada 1990 sebagai Perangkawan di Pulau Pinang sebelum menyandang pelbagai jawatan kanan termasuk Pengarah, Pengarah Kanan dan Timbalan Ketua Perangkawan.
Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Perangkawan pada 2017, sekali gus menerajui pelbagai inisiatif transformasi sistem statistik negara yang berteraskan data dan analitik.
Sepanjang menerajui DOSM, beliau merekod pelbagai pencapaian penting termasuk meletakkan Malaysia di kedudukan pertama dunia dalam penarafan Open Data Inventory (ODIN) 2024/2025 apabila memperoleh skor keseluruhan 90 dan skor keterbukaan 99, mengatasi 197 negara lain.
Dalam tempoh sama, beliau turut memperkenalkan pelbagai inisiatif utama termasuk Pangkalan Data Utama (PADU), MyLabourHub, TaniStats serta penerbitan Anggaran Awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahunan dan Anggaran KDNK Peringkat Daerah.
Di peringkat antarabangsa, beliau mewakili Malaysia di Suruhanjaya Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2017 selain mempengerusikan Kongres Statistik Dunia Institut Statistik Antarabangsa (ISI World Statistics Congress) pada 2019.
Antara pengiktirafan tertinggi diterimanya adalah Anugerah Khas Kepimpinan Statistik daripada Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-Negara Islam (SESRIC) pada 2025 atas sumbangannya dalam memperkukuh keupayaan statistik negara-negara anggota OIC.






