WANG tunai dan harta bernilai RM114 juta yang disita dalam siasatan kes membabitkan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) pada 2016 masih berada dalam simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, secara lazimnya aset yang disita akan berada di bawah jagaan agensi penguat kuasa sehingga keputusan mahkamah dimuktamadkan.

Menurutnya, aset berkenaan hanya akan dilucuthakkan dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Malaysia selepas perintah pelucuthakan diperoleh daripada mahkamah.
“Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan memohon supaya kesemua wang dan harta yang disita dilucuthakkan kepada kerajaan.

“Bagaimanapun mahkamah memerintahkan supaya permohonan pelucuthakan berkenaan ditangguhkan terlebih dahulu sehingga semua proses rayuan di mahkamah yang lebih tinggi selesai.
“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keseluruhan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen dan perkara berkenaan masih tertakluk kepada proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya.

Azalina berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Madiun Tangau (GRS-Tuaran) untuk menyatakan kedudukan wang rampasan RM114 juta oleh SPRM daripada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa Pengarah Jabatan Air Sabah pada 2016.
Madius turut meminta kerajaan menjelaskan apakah langkah seterusnya yang dilaksanakan bagi mengembalikan semula wang itu kepada kerajaan Sabah memandangkan wang berkenaan bertujuan untuk menaik taraf bekalan air di negeri itu.
Pada 4 Oktober 2016, SPRM menahan bekas pengarah berumur 54 tahun dan timbalannya berusia 51 tahun kerana terkait dengan isu salah guna kuasa dan rasuah di JANS.
SPRM turut menahan seorang akauntan berumur 50 tahun dan individu berpangkat Datuk berusia 55 tahun yang juga abang kepada bekas timbalan pengarah terbabit.
Bekas pengarah dan timbalannya itu didakwa menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberikan projek pembinaan infrastruktur asas berkaitan air bernilai RM3.3 bilion sejak tahun 2010 kepada adik-beradik mereka.
Berikutan penahanan itu, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM52.2 juta dengan masing-masing RM45 juta daripada bekas pengarah dan RM7.2 juta lagi daripada timbalannya.
Semua wang terbabit ditemui disembunyikan dalam rumah, pejabat dan kereta milik suspek. SPRM turut merampas, menyita dan membekukan harta lain milik suspek termasuk sembilan kenderaan mewah, geran tanah (127 keping), beg tangan mewah (98) dan barang kemas (14 kilogram), sejumlah jam tangan mewah serta wang dalam akaun suspek bernilai RM62 juta.
Nilai keseluruhan rampasan terbabit termasuk wang tunai dan wang dalam akaun di luar negara dianggarkan lebih RM180 juta, menjadikannya rampasan terbesar pernah dibuat SPRM dalam sejarah 49 tahun agensi itu sejak dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Seramai 28 orang termasuk bekas timbalan pengarah yang bersara pada 2015, 23 jurutera dan juruteknik serta dua orang awam yang mempunyai kaitan dengan kes itu ditahan menerusi Ops Water Fasa Satu dan Dua.






