PRN Johor: Muhyiddin akui PN mungkin tak mampu bentuk kerajaan

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak mampu membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yangakan berlangsung Sabtu ini.

Beliau bagaimanapun menggesa pengundi memberikan sokongan kepada PN bagi memastikan gabungan itu memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk berperanan sebagai semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, walaupun PN mungkin tidak berjaya membentuk kerajaan negeri, kehadiran blok pembangkang yang kukuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) amat penting bagi memastikan setiap dasar serta perbelanjaan kerajaan negeri dipantau dengan berkesan.

Menurut beliau, sekiranya PN mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi, kerajaan negeri tidak boleh bertindak sesuka hati tanpa dipersoalkan.

“Di sinilah pentingnya peranan kita sebagai semak dan imbang. Kerajaan tidak boleh buat sesuka hati.

“Mereka juga perlu menjelaskan bagaimana wang negeri dibelanjakan jika perkara itu dipersoalkan dalam DUN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Bersatu Demi Johor di Bilik Gerakan Utama PN di Parit Raja, di Batu Pahat malam tadi.

Yang turut hadir, calon Bersatu bagi kerusi DUN Parit Raja, Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Muhyiddin berkata, peranan PN sebagai pembangkang akan menjadi lebih penting sekiranya kerajaan negeri yang memperoleh mandat besar gagal menunaikan janji kepada rakyat.

“Jangan beri sokongan semata-mata kerana tiada jaminan. Apatah lagi sekarang ada kedengaran mereka boleh menang sehingga 40 kerusi.

“Kalau dah menang 40 kerusi, mereka akan berlenggang tangan. Tak buat apa-apa pun, tak apa sebab rakyat dah sokong mereka. Akhirnya rakyat juga yang tidak mendapat apa-apa.

“Sebab itu walaupun kita tidak bertanding sebanyak kerusi seperti pihak lain, dan mungkin tidak mampu membentuk kerajaan, kita tetap perlu mempunyai kekuatan untuk menjadi pembangkang.

“Itulah pentingnya rakyat memilih wakil yang benar-benar mampu membawa perubahan dan memperjuangkan kepentingan mereka,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img