Insiden tikam di sekolah: CMCF gesa henti sebar kandungan media sosial dedah identiti kanak-kanak

KANDUNGAN berbahaya dan berunsur sensitif yang membabitkan kanak-kanak bawah umur dalam insiden tikam di sebuah sekolah di Banting, Selangor kelmarin, tidak sepatutnya dikongsi dalam media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu itu kerana ia menyalahi undang-undang, walaupun mendakwa ia sebagai sumber berita.

Menurut beliau, media arus perdana terus mempamerkan sikap bertanggungjawab serta berhati-hati dalam melaporkan insiden itu, namun kandungan berbahaya masih terus tersebar melalui media sosial, aplikasi pemesejan dan halaman tidak sahih.

“Antara kandungan dikongsikan adalah bahan yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang didakwa terbabit, selain maklumat peribadi yang sewajarnya tidak didedahkan kepada umum.

“Peruntukan undang-undang adalah jelas, iaitu bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 melarang sebarang penerbitan maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian identiti kanak-kanak yang terbabit dalam prosiding jenayah atau mahkamah.

“Perlindungan ini terpakai kerana kanak-kanak berhak kepada privasi, maruah dan peluang untuk melalui proses pemulihan, tanpa mengira tahap keseriusan dakwaan yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mediha berkata, seseorang kanak-kanak atau remaja bawah umur tidak hilang hak perlindungan undang-undang hanya kerana dakwaan terhadapnya serius.

“Dalam kes lebih berat, kita perlu lebih berhati-hati kerana kemarahan awam tidak boleh dibiarkan menjadi hukuman digital yang kekal terhadap mereka.

“Penyebaran kandungan yang mendedahkan identiti kanak-kanak boleh membawa kesan nyata dan berpanjangan.

“Ia mendedahkan kanak-kanak itu, pelajar lain yang terkesan, rakan sekolah serta keluarga mereka kepada aib awam, tekanan psikologi, kemungkinan tindakan balas dan kesan jangka panjang yang mungkin berterusan lama selepas perhatian masyarakat beralih kepada isu lain,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, beliau berkata, kandungan yang sudah tersebar dalam talian amat sukar untuk ditarik balik sepenuhnya, sekali gus menambah kesan mudarat kepada kanak-kanak yang terbabit.

“Tanggungjawab ini tidak terletak pada media semata-mata, namun terpakai kepada setiap individu yang memilih untuk berkongsi, memanjangkan atau memuat naik semula kandungan sedemikian,” katanya.

Justeru, Mediha menggesa orang awam tidak lagi mencari, berkongsi, memanjangkan atau memuat naik semula sebarang kandungan yang mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit atau butiran peribadinya.

“Perasaan ingin tahu bukan alasan kepentingan awam, terutama dalam hal yang membabitkan kanak-kanak.

“Halaman tidak sahih dan portal yang mendakwa diri sebagai sumber berita, perlu segera menurunkan sebarang kandungan yang mendedahkan identiti atau maklumat peribadi kanak-kanak serta menghentikan penerbitan bahan peribadi yang tidak disahkan semata-mata untuk mendapatkan trafik,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img