Lelaki acu parang di stesen minyak dipenjara enam tahun, dua sebatan

LELAKI yang tular mengamuk sambil mengacukan parang terhadap seorang individu di sebuah stesen minyak di Bintulu, bulan lalu dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Bintulu semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, kejadian yang berlaku pada 29 Jun lalu itu menggemparkan orang ramai sebelum rakaman video memaparkan suspek berusia 24 tahun cuba menyerang mangsa menggunakan sebilah parang tular di media sosial pada 3 Julai.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan polis sebelum didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Menurutnya, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.

“Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 pula, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan.

“Tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nixon berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak ganas sehingga mengancam keselamatan awam.

Katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di talian 086-318304 bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img