POLIS belum menemukan sebarang bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun menjadi mangsa buli sehingga mendorongnya menikam rakan sekolahnya di sebuah sekolah menengah di Banting, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati alasan diberikan suspek adalah berkaitan rasa tidak puas hati dan memendam perasaan terhadap beberapa individu yang didakwa membulinya.
Bagaimanapun, katanya, keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menunjukkan kejadian buli seperti didakwa benar-benar berlaku.
“Hasil siasatan awal pada peringkat ini mendapati alasan diberikan adalah berkaitan rasa tidak puas hati ataupun boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa individu rakan sekolahnya yang dikatakan membuli suspek.
“Namun, hasil daripada keterangan yang diberikan tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli tersebut.
“Jadi saya minta beri ruang kepada pegawai penyiasat menjalankan siasatan sepenuhnya supaya kesimpulan menyeluruh mengenai motif kejadian dapat dibuat,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau berkata, polis turut mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk 10 pelajar yang namanya tular di media sosial dan dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
“Rakaman percakapan telah diambil daripada ramai saksi, namun saya tidak dapat mendedahkan jumlah keseluruhannya.
“Semua individu termasuk nama-nama yang tular dalam senarai itu telah dipanggil dan diambil keterangan,” katanya.
Mengulas keadaan mangsa, Shazeli berkata, pelajar perempuan berusia 15 tahun itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan serta menjalani proses pemulihan di hospital.
Katanya, polis turut mengambil keterangan mangsa bagi membantu siasatan.
Ditanya sama ada tindakan suspek dipengaruhi kandungan media sosial berunsur jenayah, beliau berkata, aspek itu turut disiasat bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur yang boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku suspek.
“Apa jenis video media sosial itu saya tidak boleh kongsikan kerana masih lagi dalam siasatan polis,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sebuah sekolah menengah di Banting ketika waktu rehat kira-kira jam 9.30 pagi Isnin lalu.
Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital, manakala suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.






