Ragut rantai hingga warga emas terjatuh, polis buru dua suspek

POLIS sedang giat mengesan dua lelaki yang disyaki meragut rantai leher seorang wanita warga emas berusia 73 tahun sehingga mangsa terjatuh dan cedera dalam kejadian di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, dekat Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Ain Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.36 petang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.26 petang ketika mangsa yang merupakan seorang suri rumah berada di hadapan sebuah rumah.

“Mangsa didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal Yamaha Y15ZR berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.

“Suspek yang membonceng motosikal kemudian bertindak menarik rantai leher yang dipakai mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan pada siku tangan kiri selain bengkak di bahagian kepala akibat kejadian itu.

Katanya, sehingga kini kedua-dua suspek masih bebas dan usaha mengesan serta menangkap mereka sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa melakukan atau cuba melakukan rompakan,” katanya.

Azrul Hisham berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 32 saat memaparkan kejadian ragut itu tular di media sosial.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img