‘’Kurang modal ke apa’’ – Zahid tegur pemimpin PH main isu Najib

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegur parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan terutamanya pemimpin Pakatan Harapan (PH) seperti Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang memainkan semula isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mempersoalkan adakah mereka kekurangan modal dengan memainkan semula isu berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

“Saya ingat kawan-kawan kita ini kurang modal ke apa? Saya ingat cukuplah benda tu. Cukuplah.

“Itu isu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dulu. Dah selesai dah. Ini Johor tau. Tumpu pada Johor,” katanya dalam sidang media selepas Program Sesi Libat Urus Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Johor di Kluang hari ini.

Semalam, Rosmah dalam satu kenyataan mengecam keras tindakan Kor Ming yang menyebarkan poster menggunakan wajah dan imejnya untuk tujuan kempen PRN Johor.

Rosmah menegaskan, Kor Ming yang juga seorang menteri seharusnya menunjukkan contoh politik matang dan bukan menyebarkan bahan fitnah serta manipulasi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengalu-alukan hasrat Pas yang bersedia menjalin kerjasama termasuk menyumbang kerusi kepada UMNO sekiranya BN tidak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri pada PRN Sabtu ini.

“Baguslah. Insya-Allah ok,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyatakan sekiranya BN memenangi PRN Johor, beliau bersama-sama kepimpinan parti di peringkat nasional akan memantau pencapaian dan aku janji manifesto mereka.

“Insya-Allah aku janji yang dipaparkan di dalam manifesto BN akan dilaksanakan sepenuhnya untuk penggal yang akan datang.

“Saya di peringkat nasional bersama-sama dengan kepimpinan lain akan terus memantau pencapaian dan aku janji dalam manifesto berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mengucapkan penghargaan susulan pertambahan sokongan pengundi bukan Melayu kepada calon BN yang terdiri daripada pelbagai parti dan kaum.

Beliau turut berharap pertambahan sokongan daripada mereka dapat dipertahankan sehingga Sabtu ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, prestasi pembangunan infrastruktrur luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencatatkan pencapaian yang membanggakan dengan jumlah 97.65 peratus sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, pencapaian prestasi program infrastruktur luar itu juga telah dibentangkannya sewaktu mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Di mana kertas (kajian) itu memperlihatkan pencapaian semua program infrastruktur KKDW di seluruh negara.

“Tempoh kajian adalah sepanjang RMK12. Apa yang kita perhatikan bukan hanya sejauh mana jalan luar bandar itu telah dibina, berapa banyak yang telah dinaik taraf dan berapa banyak yang telah diperbaiki. Itu semua adalah pencapaian fizikal,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, perkara yang paling penting adalah dengan adanya infrastruktur di luar bandar atau desa, ia telah membuka peluang pendidikan, mewujudkan ramai usahawan dan mengurangkan mobiliti sosial secara ‘horizontal’ disebabkan penghijrahan berlaku dari kawasan luar bandar ke bandar pada masa lalu.

Menurutnya, pencapaian yang baik itu juga akan diteruskan termasuklah di negeri Johor seperti bekerjasama dengan kerajaan negeri menerusi Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img