SEORANG ejen syarikat pelancongan dipenjara lima tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Difahamkan, ketika itu penuntut tersebut berusia 17 tahun dan kejadian berlaku semasa tertuduh menghantarnya ke destinasi tempahan menggunakan perkhidmatan e-hailing, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahremy Abdul Raset, 31, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya atas pertuduhan yang dihadapi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan berunsur seksual terhadap mangsa di dalam sebuah Perodua Myvi ketika dalam perjalanan ke sebuah resort antara pukul 7.15 malam hingga 7.22 malam pada 9 Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menghubungi tertuduh untuk mendapatkan perkhidmatan e-hailing sebelum lelaki itu mengambil kesempatan melakukan perbuatan berunsur seksual terhadapnya ketika dalam perjalanan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjadi pencari nafkah tunggal keluarga serta menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak masing-masing berusia dua dan empat tahun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md. Yatin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan jenayah berkenaan serta kepentingan awam.
Menurutnya, jenayah seksual terhadap kanak-kanak merupakan kesalahan serius yang memerlukan hukuman tegas sebagai pengajaran selain melindungi golongan itu daripada terus menjadi mangsa.
“Dalam kes ini, tertuduh sebagai orang dewasa telah mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan melakukan perbuatan berunsur seksual,” katanya.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai 3 Julai lalu.
Selain itu, tertuduh turut diarahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta yang sama.






