SUSPEK remaja perempuan dalam kes seorang pelajar tingkatan tiga cedera ditikam di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat Isnin lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Pendakwaan ke atas remaja berusia 15 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Telok Datok, Banting.
Media hari ini melaporkan, hasil siasatan polis mendapati suspek menikam mangsa pelajar perempuan atas alasan tidak berpuas hati dan memendam rasa selepas mendakwa dibuli.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, bagaimanapun hasil keterangan beberapa individu termasuk 10 nama pelajar dalam senarai yang tular dalam media sosial, setakat ini mendapati ia tidak menjurus ke arah perbuatan buli.
“Siasatan secara menyeluruh masih berlangsung dan belum selesai. Pihak polis meminta masyarakat memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.
“Namun, hasil siasatan awal pada peringkat ini mendapati alasan diberikan suspek adalah rasa tidak puas hati, boleh dikatakan memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membuli suspek.
“Bagaimanapun, hasil keterangan-keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlaku kejadian buli,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Suspek direman selama empat hari selepas perintah dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin lalu, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau ketika berada di kantin sebuah sekolah menengah di Banting.
Mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital.






