
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima sejumlah 90 laporan melibatkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bermula Sabtu lalu sehingga malam tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 25 kertas siasatan dibuka di mana kebanyakannya merupakan kesalahan kecil.
“Saya percaya ini tidak akan menimbulkan keresahan ataupun ketegangan di antara pengundi dan juga semua petugas-petugas dalam pilihan raya kali ini.
“Kebanyakan kes-kes ini yang kita siasat adalah lebih kepada kes khianat di mana ada beberapa individu tertentu yang sedang kita siasat telah mengambil tindakan untuk mencabut ataupun cuba merosakkan bendera dan juga beberapa benda perkara berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Molek di Johor Bahru hari ini.
Mohd Khalid memberitahu, seramai 5,600 anggota dan pegawai polis dari luar negeri datang membantu menjadikan semua yang bertugas keseluruhan berjumlah 14,000.
Beliau berkata, anggota terbabit yang bertugas adalah bagi memastikan keamanan dan kelancaran di pusat mengundi lancar termasuk di semua aliran trafik terbabit.
“Pada masa ini saya melihat semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Menjadi tanggungjawab dan amanah untuk polis memastikan keselamatan, ketenteraman dan kawalan lalu lintas berada pada tahap yang sempurna,” katanya.






