SEORANG pekerja lelaki maut selepas melecur hampir seluruh badan dalam kebakaran melibatkan sebuah pendandang (boiler) di sebuah kilang di Jalan Janakuasa, Kampung Tok Muda di Klang pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.18 pagi.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah boiler di kilang penyetiman besi berkeluasan kira-kira 20 x 20 kaki.
“Bagaimanapun, api telah dipadamkan oleh pekerja kilang sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun dalam keadaan melecur hampir seluruh badan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi melibatkan tujuh anggota bomba dari BBP Kapar dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.






