TINDAKAN pantas seorang lelaki melawan penyamun yang menceroboh rumahnya membawa kepada penahanan suspek apabila lelaki itu akhirnya diberkas penduduk selepas cuba melarikan diri dalam kejadian di Taman Delima, Sungai Petani, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun terjaga daripada tidur selepas menyedari terdapat individu yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa kemudian ternampak suspek sedang menggeledah bahagian dapur rumah.
“Pengadu cuba menangkap suspek sehingga berlaku pergelutan selama kira-kira 15 minit yang turut disaksikan oleh kakak pengadu.
“Semasa cuba melarikan diri, suspek menggigit lengan kanan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan ringan pada jari tangan kiri dan jari kaki kiri selepas terjatuh ketika mengejar suspek.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya diberkas oleh jiran berhampiran sebelum diserahkan kepada mangsa yang kemudian menghubungi polis.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang kehilangan harta benda dilaporkan.
“Pengadu turut memaklumkan suspek dipercayai memasuki rumah melalui tingkap yang dibiarkan terbuka,” katanya.
Hanyan berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 27 tahun dari Kuala Ketil itu mempunyai sembilan rekod jenayah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.






