Sultan Selangor berkenan rasai sendiri pengalaman naiki LRT3

SULTAN Selangor menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) atas kejayaan merealisasikan serta melancarkan operasi LRT3 Laluan Shah Alam yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat, khususnya warga Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Hari ini baginda berkenan merasai sendiri pengalaman menaiki LRT3 dari stesen Bandar Utama di Petaling Jaya hingga ke stesen Johan Setia di Klang.

Istana Alam Shah dalam kenyataan berkata, baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah .

‘’Baginda menzahirkan rasa syukur kerana projek infrastruktur pengangkutan awam yang sekian lama dinantikan ini akhirnya menjadi kenyataan demi meningkatkan mutu kehidupan rakyat, mengurangkan kesesakan lalu lintas serta menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, selesa dan mampan,’’ kata kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin bertitah, alangkah baiknya kalau laluan LRT3 ini siap seperti perancangan asal kerana baginda berpandangan perkhidmatan tren ini adalah kemudahan pengangkutan awam yang penting untuk kesenangan rakyat.

‘’Baginda turut memuji kesabaran rakyat Selangor dan Alhamdulillah, akhirnya LRT3 Laluan Shah Alam ini siap dan boleh digunakan. Baginda percaya ada hikmah yang Allah S.W.T. ingin tunjukkan daripada kelewatan ini,’’ kata kenyataan tersebut.

Baginda turut teruja menantikan siapnya lima lagi stesen tertangguh yang bakal dibina semula iaitu stesen LRT3 Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik yang bakal memberi manfaat kepada majoriti penduduk Melayu di kawasan berhampiran.

Dalam pada itu, baginda berkenan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Prasarana dan juga MRCB serta semua pihak yang terlibat secaralangsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan pembinaan dan pengoperasian LRT3.

‘’Baginda telah disembah maklum bahawa sepanjang pelaksanaan projek LRT3, lebih 13,000 individu telah menyumbang tenaga, kepakaran dan komitmen mereka dalam merealisasikan pembinaan Laluan Shah Alam.

‘’Sepanjang tempoh pembinaan selama 10 tahun 9 bulan, secara puratanya seramai 8,000 kakitangan bertugas di pelbagai lokasi pada satu-satu masa, merangkumi pelbagai disiplin dan bidang kepakaran bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

”Mereka terdiri daripada pengarah projek, jurutera, penyelia, juruteknik, tenaga mahir, pekerja pembinaan, pegawai keselamatan, pasukan logistik, kakitangan pentadbiran serta petugas sokongan, melibatkan rakyat Malaysia dan juga pekerja dari luar negara,’’ kata kenyataan tersebut.

Baginda berkenan menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas peranan setiap daripada mereka dalam mengubah perancangan bertahun-tahun menjadi sebuah sistem pengangkutan moden harian.

Titah baginda, walaupun stesen, landasan dan tren merupakan hasil yang dapat dilihat oleh masyarakat, hakikatnya kejayaan sebenar projek ini adalah manifestasi dedikasi, profesionalisme serta semangat lebih 13,000 individu yang telah mengabdikan tenaga dan kepakaran mereka sepanjang pembinaannya.

‘’ Sultan Selangor berharap agar warga kerja Prasarana dapat sentiasa memastikan kelancaran operasi LRT3 Laluan Shah Alam ini dan meminimumkan sebarang gangguan.

‘’Baginda juga berpesan kepada rakyat jelata memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan tren ini yang menjadi pemangkin kepada budaya penggunaan pengangkutan awam yang lebih meluas demi mewujudkan sistem mobiliti yang moden, lestari dan berkualiti untuk masa hadapan,’’ kata kenyataan itu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img