TINDAKAN keluar parti terus melanda Bersatu apabila terbaru Naib Ketua Armada Negeri Sembilan, Alif Asyraf Azman mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti itu berkuatkuasa hari ini.
Dalam satu kenyataan Alif Asyraf berkata, beliau telah megemukakan notis rasmi berhubung peletakan jawatan serta penarikan diri daripada keahlian parti itu kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Seiring dengan keputusan ini, saya secara rasminya melepaskan jawatan-jawatan berikut iaitu Naib Ketua Armada Negeri Sembilan, Ketua Armada Bahagian Seremban dan Ketua Cawangan.
“Ingin saya tegaskan bahawa keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkannya dengan teliti,” katanya.
Alif Asyraf merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan parti, ahli-ahli bahagian, serta semua pihak yang sentiasa memberikan kerjasama, sokongan dan kepercayaan kepadanya sepanjang tempoh memegang amanah.
“Akhir kata, saya mendoakan agar Bersatu akan terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, tujuh lagi pemimpin Bersatu Bahagian dan Cawangan Tampin turut mengambil tindakan sama.
Menerusi surat yang ditandatangani oleh Naib Ketua Bersatu Bahagian Tampin, Abdul Aziz Jamaludin memaklumkan keputusan itu dibuat mereka untuk mengikuti dan menyokong bekas Ketua Bersatu Bahagian Tampin, Ridzuan Ahmad yang menyertai parti Wawasan.
Ridzuan yang merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas membuat keputusan keluar parti sekali gus meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tampin.






