TUJUH wanita kehilangan rantai emas ketika lebih 5,000 penganut Hindu sedang melakukan upacara keagamaan di sebuah kuil di Jalan Lipis, Raub semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika mereka menghadiri upacara sembahyang sempena ulang tahun Kuil Siva Subramaniam, pagi semalam.
Katanya berdasarkan siasatan kes kecurian itu dipercayai dilakukan sekumpulan penjenayah yang mendekati mangsa untuk mewujudkan suasana bersesak-sesak di dalam kuil.
“Ketika itu suspek akan menggunakan alat pemotong untuk mencuri rantai emas mangsa.
“Berdasarkan keterangan mangsa dan saksi, modus operadi kejadian itu hampir sama dengan kes kecurian rantai emas beberapa pengunjung sebuah kuil di Perak tahun lalu dan Selangor bulan lalu,” katanya kenyataan hari ini.
Mohd Shahril berkata, pihak polis sedang mengesan suspek yang terlibat dengan kegiatan berkenaan.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada ketika berada di kawasan sesak dan memantau barang berharga mereka,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tujuh tahun serta denda.






