SEORANG eksekutif hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya yang berusia 15 tahun pada tahun lalu.
Tertuduh berusia 32 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Permatang Pasir Permai, Melaka Tengah pada Mac 2025.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi yang sama pada Jun 2025.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu bagi serahan dokumen selain mencadangkan jaminan RM18,000 serta syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mendekati mangsa.
Bagaimanapun, peguam Ishak Kari yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,700 sebulan sebagai eksekutif hotel.
Beliau berkata, isteri tertuduh tidak bekerja dan pasangan itu mempunyai empat anak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) berusia sembilan tahun yang memerlukan perhatian.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta mengekalkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.






