KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi Network School di Forest City, Johor.
Langkah ini diambil susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor, selain mengambil kira kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan pembabitan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
KDN dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius sebarang isu yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen di negara ini.
“Semakan dan siasatan menyeluruh yang dijalankan merangkumi identiti dan kewarganegaraan individu yang terbabit, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, selain menyiasat jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan serta tujuan kemasukan mereka ke Malaysia.
“Siasatan juga akan meneliti tahap pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain yang berkaitan,” kata kenyataan KDN hari ini.
Kerajaan negeri Johor hari ini menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School di Forest City susulan kebimbangan orang ramai termasuk dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
KDN dalam pada itu memberitahu, selain JIM dan PDRM, kementerian itu turut bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara terperinci mengikut lunas undang-undang.
Kementerian itu memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi sekiranya siasatan mendapati wujudnya pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, atau pemberian maklumat palsu yang menjejaskan kepentingan negara.
“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, KDN turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.
Orang awam diminta untuk memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara profesional, telus, dan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.






