BRIGED Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan nilai rampasan hampir RM20 juta menerusi 18 siri operasi khas yang dilaksanakan di seluruh negeri sepanjang tempoh 1 hingga 13 Julai lalu.
Rampasan keseluruhan bernilai RM19.96 juta itu diperoleh hasil pelaksanaan Op Taring Bravo, Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah yang turut membawa kepada penahanan beberapa individu membabitkan warga tempatan serta warga asing.
Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner Lim Bak Phai berkata, operasi berterusan itu merupakan sebahagian daripada usaha membanteras aktiviti penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, pembalakan haram, kes hidupan liar serta jenayah rentas sempadan.
Menurutnya, rampasan terbesar membabitkan lebih 60 tan produk sejuk beku tanpa permit bernilai RM10.06 juta di Sibu, Miri, Bintulu, Sri Aman dan Kuching.
“Produk yang dirampas merangkumi ayam, daging babi, ikan, nuget dan sosej, selain stor sejuk beku serta kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim berkata, dalam operasi berasingan di Sri Aman dan Kota Samarahan, PGA turut menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan hampir 16,000 liter diesel.
Katanya, rampasan bernilai RM824,599 itu turut membabitkan penyitaan tangki skid, tangki simpanan dan jentera berat yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, menerusi Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah pula, pihaknya berjaya membongkar kegiatan pembalakan tanpa permit, pemprosesan kayu secara haram serta kes berkaitan hidupan liar.
“Hasil operasi itu, kami merampas kayu balak, kayu diproses, kayu gaharu, sarang burung walit serta pelbagai peralatan memproses,” katanya.
Dalam pada itu, Lim berkata, menerusi Op Taring Batas/Awas, PGA turut menahan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) serta menggagalkan cubaan menyeludup beras dan produk daging sejuk beku.
Katanya, pelbagai barangan lain termasuk telefon bimbit, motosikal dan wang tunai turut dirampas dengan nilai keseluruhan RM783,747.40.
Beliau berkata, semua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Imigresen, Jabatan Hutan Sarawak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.






