KEPUTUSAN lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka bukan keputusan yang dipersetujui secara bersama di peringkat kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
Pemangku Ketua PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, semua pihak yang berkenaan diminta supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan, yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran dan pembangunan negeri.
“PKR menghormati pendirian mereka namun keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan negeri bukanlah keputusan yang telah dipersetujui secara bersama di peringkat kepimpinan PH Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengumumkan empat ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah akan berada di blok pembangkang selepas DUN Melaka hari ini meluluskan pindaan yang membenarkan pelantikan ADUN dilantik.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, ADUN dilantik itu pelengkap kepada komposisi sedia ada, bagi membawa masuk kepakaran, pengalaman dan pandangan daripada bidang-bidang diperlukan.
Poay Tiong bagaimanapun berkata, mereka tidak seharusnya dilantik sebagai ADUN yang mempunyai kuasa untuk bersidang dan mengundi dalam DUN.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, perbezaan pandangan berhubung isu ADUN lantikan itu perlu dinilai secara teliti berasaskan prinsip kebertanggungjawaban, integriti, dan semangat demokrasi.
“Ruang perbincangan perlu terus dibuka supaya setiap keputusan dapat dicapai secara matang, bertanggungjawab dan demi kepentingan rakyat Melaka,” katanya.






