BERSATU didesak supaya segera meninggalkan Perikatan Nasional (PN) berikutan layanan diterima parti itu daripada Pas, rakan komponennya dalam gabungan pembangkang.
Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof Dr P Ramasamy berkata, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menjadi ‘mangsa Pas’ dalam dua keadaan.

Menurut beliau, keadaan pertama katanya, melalui serangan yang dirancang sehingga membawa kepada pemutusan hubungan antara kedua-dua parti dan kedua, melalui tindakan bersifat ‘khianat’ Pas menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Jun lalu selepas Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.
“Antara isu yang dibangkitkan adalah usaha menyingkirkan Menteri Besar Perlis, dakwaan campur tangan dalam pelantikan di Kedah dan Kelantan, serta bantahan Bersatu terhadap kemasukan parti-parti Melayu-Islam baharu ke dalam PN,” kata Ramasamy dalam hantaran di Facebook.
Pada PRN Johor, Pas turut mengarahkan ahli dan penyokongnya supaya menyokong Barisan Nasional (BN) di kerusi-kerusi yang tidak ditandingi PN.
Menurut Ramasamy, tindakan Pas itu telah melemahkan parti-parti komponen lain dalam PN sehingga menyebabkan gabungan dalam keadaan yang hampir lumpuh sepenuhnya.
“Ia tidak lagi mempunyai sebarang makna sebagai alternatif yang berkesan kepada BN.
“Nasihat saya kepada Bersatu adalah mudah dan jelas. Sudah tiba masanya untuk membentuk satu gabungan politik baharu yang benar-benar mampu mencabar BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Ramasamy berkata, Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), sebuah gabungan longgar yang menghimpunkan beberapa parti pembangkang termasuk Urimai serta parti-parti di luar PN, boleh menjadi platform bagi pembentukan gabungan besar pembangkang tersebut.
“Lebih cepat Bersatu membuat keputusan keluar daripada PN, lebih cepat ia dapat memulakan usaha menghidupkan semula sebuah gabungan pembangkang yang lebih mantap dan berwibawa,” katanya.
Sebelum ini, seorang penganalisis memberitahu bahawa Bersatu mungkin perlu menyertai gabungan politik lain sekiranya Muhyiddin mahu terus kekal relevan di Pagoh selepas PN tewas di kedua-dua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen tersebut pada PRN Johor.






