AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya menuju ke Muar, Johor sebagai tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang membersihkan nama dan maruahnya.
Misi larian selama empat hari itu turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.
Syed Saddiq berkata, larian berkenaan dizahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT serta penghargaan terhadap institusi kehakiman negara selepas berdepan pertuduhan selama enam tahun sebelum berjaya membersihkan namanya.
“Di sinilah saya mendapatkan semula maruah dan integriti serta membersihkan nama saya selepas enam tahun berjuang mendapatkan keadilan.
“Dana yang dikumpulkan menerusi larian ini akan digunakan untuk membeli iPad kepada mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, selain menyediakan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui sebelum memulakan larian.
Beliau tiba di pekarangan Istana Kehakiman kira-kira jam 4.45 petang ditemani ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dan tunangnya, penyanyi serta pelakon Bella Astillah, yang turut menyertai larian bermula jam 5.10 petang.
Pada Isnin lalu, Syed Saddiq mengumumkan akan mengadakan Larian Kesyukuran sebaik sidang Dewan Rakyat berakhir hari ini dan dijangka tiba di Muar pada Ahad.
Pengumuman itu dibuat menerusi program audio siar BASScast yang dikendalikan bersama Bella Astillah. Menurutnya, larian berkenaan bukan sekadar menzahirkan rasa syukur, malah sebagai penghargaan kepada penduduk Muar yang terus memberi kepercayaan kepadanya sepanjang beliau berdepan tempoh sukar sejak enam tahun lalu.
Beliau berkata, meskipun larian itu belum bermula, ribuan orang sudah tampil menyumbang kepada misi berkenaan dan semua kutipan akan disalurkan semula kepada warga Muar.
Mengulas cabaran sepanjang misi itu, Syed Saddiq berkata, beliau akan menghadapi setiap ujian dengan tenang sambil memberi tumpuan sepenuhnya untuk menamatkan larian berkenaan.
“Dalam hidup memang akan ada pelbagai rintangan dan cabaran. Yang penting adalah bagaimana kita menghadapinya. Saya akan fokus satu langkah pada satu masa sehingga ke garisan penamat,” katanya.
Beliau berkata, beberapa kumpulan pelari dan penyokong, termasuk Bella Astillah, akan menyertai perjalanan itu secara berperingkat mengikut kesesuaian, namun beliau sendiri akan berlari sepanjang laluan tanpa menggunakan sebarang kenderaan.
“Saya akan berlari dari awal hingga tamat. Penyokong mungkin ikut menaiki basikal atau motosikal, tetapi saya sendiri akan terus berlari,” katanya.
Beliau turut memaklumkan semua pergerakan sepanjang misi akan mematuhi arahan polis, khususnya di laluan berisiko tinggi, selain perkembangan larian itu akan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial.






