Istiadat angkat sumpah Exco Johor ditangguh esok

MAJLIS istiadat mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dijadual berlangsung di Istana Bukit Serene di Johor Bahru hari ini, ditangguhkan esok.

Perkara itu dimaklumkan kepada petugas media pagi ini yang memberitahu majlis berkenaan akan diadakan esok, pada waktu yang sama namun tiada alasan penangguhan majlis itu setakat ini.

Media semalam melaporkan Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan Exco yang baharu dijadualkan berlangsung di Istana Bukit Serene hari ini di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Majlis penuh istiadat berkenaan akan menyaksikan barisan kepimpinan baharu pentadbiran negeri mengangkat sumpah simpan rahsia dan menerima watikah pelantikan masing-masing.

Pengamal media turut dijemput membuat liputan di dua pintu masuk istana iaitu di Pintu Mahkota dan Pintu Kolam Air, seawal jam 9.30 pagi.

Majlis istiadat itu dijangka turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut.

Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai lalu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dipertandingkan sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri Johor dengan kemenangan mudah.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img