DUA lelaki termasuk seorang warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang mayatnya ditemukan di Kampung Numbak, Sepanggar dekat Kota Kinabalu semalam.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 39 dan 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah dikemukakan oleh pegawai penyiasat, Asisten Superintenden La Paula Abd Muis.
Kedua-dua lelaki itu ditahan semalam susulan penemuan mayat kanak-kanak warga tempatan Nurjilya Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu.
Media semalam melaporkan kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan itu kini disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman dilaporkan berkata, mayat mangsa ditemukan berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar atas bukit Kampung Numbak kira-kira jam 10.38 malam semalam.
Menurut Syed Lot, hasil pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mayat mangsa sudah mereput sebelum identitinya dikenal pasti oleh ibu berdasarkan pakaian yang dipakai ketika dilaporkan hilang.






