TANDA tanya seorang ibu mengenai kehilangan anaknya selepas keluar dari rumah di Bayan Baru sejak lebih sebulan lalu terjawab selepas mayat tidak dituntut di Hospital Pulau Pinang (HPP) dikenal pasti sebagai anaknya, malam tadi.
Salmah Shamsudin, 72, berkata, pengecaman itu dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum mengesahkan mayat berkenaan ialah anaknya, Shahir Zainul, 46, yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.
“Saya dan dua cucu ke hospital malam tadi bagi membuat pengecaman. Memang itu anak saya,” katanya, lapor Berita Harian.
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Shahir yang tidak pulang selepas keluar dari rumah untuk mencari durian di sebuah dusun durian pada jam 5 pagi dengan menaiki motosikal.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama PDRM semalam di kawasan hutan berhampiran Lebuh Bukit Jambul berpandukan penemuan motosikal dan topi keledar milik mangsa di tepi jalan.
Operasi itu kemudian ditamatkan selepas pasukan penyelamat tidak menemukan sebarang petunjuk.
Sementara itu, pada 21 Jun lalu, Unit Komunikasi Korporat HPP mengeluarkan kenyataan media memohon bantuan orang ramai mengesan waris kepada mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang dimasukkan ke hospital itu.
Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut pada jam 5.28 petang, 11 Jun lalu.






