Kalau  betullah tak nak  ‘elemen Pas’….Bersatu keluarlah PN sekarang

KOMENTAR SABTU 

BERSATU membuat keputusan tepat apabila merancang untuk menubuhkan jajaran baharu bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Walaupun setakat ini ia di peringkat perbincangan namun penulis berpendapat Bersatu sudah tidak ada pilihan memandangkan kehadiran mereka dalam Perikatan Nasional (PN) sudah tidak bermakna lagi kerana tiada kerjasama politik dengan Pas..

PN didominasi oleh Pas selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Pengerusi PN secara sukarela dan jawatan itu diambil alih Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhar.

Justeru adalah lebih baik Bersatu keluar sahaja sekarang tak perlu tunggu selepas PRN Negeri Sembilan. Ia kerana Bersatupun sudah meletakkan calonnya bagi menentang lapan calon PN daripada Pas dan Wawasan.

Tambahan pula Muhyiddin pun dah kata,  Bersatu yakin mampu menarik lebih ramai sokongan bukan Melayu selepas tidak lagi bekerjasama dengan Pas, jadi tinggalkanlah PN sekarang, kenapa nak tangguh-tangguh apakah Bersatu tak yakin dengan IPR?

Sepatutnya PRN Negeri Sembilan inilah menjadi gelanggang untuk Bersatu ‘mempromosikan’ IPR, kenapa mahu tunggu sehingga PRU16. Bagaimana dengan PRN Melaka, tak kan Bersatu nak bertanding dengan hujah ‘’masih kekal dengan PN , tengah berunding dengan IPR’’?

PRN Negeri Sembilan medan terbaik untuk Bersatu berusaha menarik pengundi bukan Melayu kerana Muhyiddin berhujah, :

“Harapan saya begitu (tarik bukan Melayu). Dulu, ada masalah dan saya pun faham pasal ramai yang bukan Melayu takut dengan cara Pas. Jadi, sekarang ini tidak bersama Pas.

“Jadi, bukan Melayu hatta bagi orang Melayu yang tidak bersedia dengan cara politik Pas, ini masa sesuai untuk mereka menyokong,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan.

Agak lucu apabila  Muhyiddin berkata, bukti Bersatu tidak mempunyai elemen Pas apabila parti mempertaruhkan calon bukan Melayu pada PRN Negeri Sembilan, selain mempunyai sayap bukan Islam.

“Bersatu ini tak ada elemen Pas dalamnya, jadi kalau ada pihak-pihak bukan Islam agak rasa ragu saya nak jelaskan. Tapi, Bersatu ini ada wakil-wakil bukan Melayu sebab kita ada sayap Bersekutu. Sebab itu ada nama-nama yang bukan Melayu kita calonkan, jadi ia mewakili semua kaum,” katanya.

Apa yang dimaksudkan ‘ tidak ada elemen’ Pas? Kalau nak bercakap sayap bukan Islam atau bukan Melayu, Pas sudah lama melakukannya malah lebih awal meletakkan calon bukan Melayu dalam pilihan raya.

Untuk rekod :

*PRU12 (2008) – Calon bukan Melayu pertama R. Kumutha menjadi calon bukan Melayu pertama yang dikaitkan dengan Pas apabila bertanding di kerusi DUN Tiram, Johor.

Namun, beliau bertanding menggunakan lambang PKR, kerana pada ketika itu perlembagaan Pas belum membenarkan ahli bukan Islam menjadi ahli penuh dan bertanding atas tiket Pas.

*2010 – Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP). Pas menaik taraf Kelab Penyokong Pas kepada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Langkah ini membuka ruang lebih besar kepada penyertaan bukan Islam dalam struktur parti dan membolehkan mereka dicalonkan menggunakan lambang Pas.

*PRU13 (2013) – Calon bukan Melayu pertama di bawah lambang Pas Hu Pang Chaw menjadi calon bukan Islam pertama bertanding menggunakan lambang Pas apabila diletakkan di kerusi Parlimen Ayer Hitam, Johor. Beliau tewas kepada calon BN, Datuk Seri Wee Ka Siong.

*PRU14 (2018) – Lebih ramai calon bukan Melayu. Pas  menampilkan beberapa lagi calon bukan Melayu, antaranya:

-Satail Mojungkat – DUN Kadamaian, Sabah (calon bukan Islam pertama PAS di Sabah).

-Kong Tuck Wah – DUN Rawang, Selangor. Ini menunjukkan PAS mula memperluaskan penyertaan calon bukan Melayu di beberapa negeri.

Penulis membentangkan fakta ini supaya cukup-cukuplah Bersatu menuding jari kepada Pas.

Sepatutnya pemimpin Bersatu bermuhasabah kenapakah Bersatu berada dalam kedudukan sekarang. Daripada sebuah parti yang mengetuai satu gabungan ampuh pada PRU-15 kini semakin dipinggirkan dan terpaksa mencari jajaran baharu.

Janganlah lupa kaji juga kepada semakin ramai meninggalkan Pas dan kenapa pula ramai termasuk pemimpin Bersatu yang menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) di bawah kepimpinan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat oleh Bersatu.

Tetapi apa yang penting sekarang, Bersatu keluar saja daripada PN, jangan tunggu lama-lama. Bentuklah jajaran baharu supaya pengundi Negeri Sembilan boleh tahu siapa ada dalam IPR.

Muhyiddin tidak perlu risau soal sokongan memandangkan beliau sudah menyatakan Bersatu kini telah mencapai tahap kematangan politik yang kukuh apabila bersedia bertanding menggunakan logo sendiri, buat pertama kali pada PRN Negeri Sembilan.

Beliau juga menyifatkan pertumbuhan Bersatu sebagai pencapaian luar biasa dan di luar jangkaan, apabila berjaya mengumpulkan hampir 700,000 ahli, lebih 4,000 cawangan, dan 180 bahagian. Banyak tu…mestilah Bersatu sudah kuat.

Jadi tunjuklah tahap kematangan dan kekuatan politik itu dengan tidak lagi menyalahkan Pas, tidak lagi meratap nasib yang menimpa sepanjang berada di PN. Rakyat Negeri Sembilan tidak mahu dengar itu semua.

Yang rakyat mahu tahu melalui jajaran IPR apa yang Bersatu boleh lakukan untuk menjadi alternatif lebih baik daripada PH, lebih hebat daripada BN dan lebih mantap daripada PN.

Kalau itu tidak dapat dilakukan,tidak kira dengan siapapun Bersatu bergabung, parti tersebut akan dianggap ‘adapun tak untung, tak ada pun tak rugi’!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img