Nahas konvoi RXZ: Lima mangsa masih dirawat di hospital

LIMA mangsa nahas konvoi motosikal Yamaha RXZ yang mengorbankan empat nyawa di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), 11 Julai lalu, masih menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, seorang daripada mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Menurutnya, dua lagi mangsa menerima rawatan di wad biasa hospital sama, manakala seorang dirawat di hospital swasta di Kuantan dan seorang lagi menjalani pemulihan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Seramai tiga mangsa masih dirawat di HTAA, termasuk seorang di ICU. Seorang lagi mangsa menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuantan, manakala seorang lagi sedang menjalani pemulihan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Setakat ini, hanya lima mangsa masih dirawat di hospital, manakala lapan penunggang yang cedera sudah dibenarkan pulang,” katanya kepada New Straits Times.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor itu, lebih 30 motosikal dipercayai terbabit dalam perlumbaan sebelum berlaku kemalangan yang mengorbankan empat penunggang dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 yang lain.

Kemalangan dipercayai bermula apabila sebuah motosikal merempuh bahagian belakang Toyota Vios sebelum mencetuskan pelanggaran berantai apabila penunggang lain gagal mengelak lalu bertembung sesama sendiri.

Tiga penunggang maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.

Sementara itu, Ashari berkata, siasatan masih diteruskan dan polis setakat ini baru merakam percakapan lima penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Kami masih belum merakam percakapan penunggang lain yang menyertai konvoi itu. Polis juga sudah mengambil keterangan daripada pemandu Toyota Vios, penumpangnya serta tiga lagi pengguna jalan raya yang berada kira-kira 200 meter dari Toyota Vios ketika nahas berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu melulu atau berbahaya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img