Tiga pelajar ditahan, tendang, baling tong sampah, peras ugut rakan

TIGA pelajar lelaki Tingkatan Satu ditahan selepas disyaki membuli dan memeras ugut rakan sekelas sehingga mangsa mengalami keretakan buku lali kiri dalam kejadian di sebuah sekolah menengah, di Kangar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 39 tahun membuat laporan polis berhubung insiden yang menimpa anaknya kira-kira jam 11.27 malam pada hari sama.

Menurutnya, wanita terbabit sebelum itu dimaklumkan guru kelas bahawa anak lelakinya berusia 13 tahun mengalami kecederaan dan tidak boleh berjalan selepas dikatakan tergelincir ketika mahu masuk ke kelas.

“Bagaimanapun, ketika berada di hospital pada sebelah malamnya, remaja itu mendedahkan perkara sebenar bahawa dia sebenarnya menjadi mangsa buli sejak beberapa bulan lalu.

“Kemuncaknya pada hari kejadian apabila mangsa mendakwa ditendang, dipukul dan dibaling dengan dua tong sampah besar pada badan serta kepala, malah turut diludah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yusharifuddin berkata, ketiga-tiga suspek yang juga rakan sekelas mangsa dipercayai turut memeras ugut dengan meminta wang belanja harian mangsa.

Beliau berkata, mangsa mengalami trauma dan tidak pernah menceritakan perkara itu kepada pihak sekolah atau ibunya kerana terlalu takut serta bimbang terhadap keselamatannya.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 13 tahun bagi membantu siasatan.

“Semua suspek kini direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img